Kau Adik Tersayang


Assalamualaikum.. Bismillahirahmanerrahim.

Alhamdulillah.. Allah ta’ala beri lagi kesempatan waktu untuk aku mencoret rasa hati.

Pernikahan sulung keluarga kami, Jun 2010. Pernikahan yang meriah. Halaman luas rerumput di pasang khemah-khemah besar. Adik terlihat sangat bahagia. Kaklong masih ingat saat-saat ijab kabul, adik berbisik-bisik bersimpuh di pangkuan mak.

Adik.. kini kau juga sudah bergelar bonda. MasyaAllah, syukur Alhamdulillah. Keluarga kami bertambah, dua lelaki, seorang ipar ku, seorang lagi bayi kecil molek.

Suara mak petang tu, panik. Caesarean. “Anak awak memang degil serupa awak dik.” Kami yang jauh semua nya menggelabah. Lepas 2 jam, mak telefon lagi, langsung kami dengar suara tangis bayi. Membuat cair seluruh ketegangan.

Kaklong tumpang gembira adik. Mak pun, hantar MMS sampai penuh memori telefon. Kaklong belum pernah tengok mak sebahagia ini.  Gembira menciumi wajah merah cucu tersayang, Ahmad Harrith Rayyan. Abah, dengan rambut sudah memutih. Tapi lihatlah, wajahnya seperti sepuluh tahun lebih muda. Harith Rayyan betul-betul menguasai perhatian seluruh anggota keluarga.

Ahmad Harith Rayyan, semoga kehadiranmu membuatkan rumah itu lebih ramai. Lebih hidup. Pastinya teriakannya setiap pagi (atau setiap minta susu) membuat rusuh yang lain. Berebutan menggendong.

Untuk mu Ahmad Harith Rayyan, semoga dikau tumbuh dengan beningnya mata memandang, sejuknya hati menangani dan cerdasnya kepala berfikir. Menjadi cucu kebanggaan nenek dan atok.

Untuk adikku Nur Shahida Nisa terima kasih kerana menjadi adikku. Mak selalunya betul, sepatutnya kaklong tak perlu lama menunggu untuk menikah.

Aku mencintai kanak-kanak, bukan kerana mereka kelihatan comel dan menyenangkan. Tapi kerana aku menyedari janji kehidupan yang lebih baik selalu tergenggam di tangan anak-anak.